PRK DUN Chini: SPRM Buka 2 Bilik Gerakan
20 JUN: Dua bilik gerakan dibuka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat dan aduan sebarang perbuatan rasuah dan salah guna kuasa pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, bilik gerakan itu beroperasi pada waktu pejabat di Kompleks SPRM Pahang di Bandar Indera Mahkota, Kuantan.
Manakala satu lagi ditempatkan di Pejabat Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Chini 1 di Pekan yang beroperasi selama 24 jam.
“Orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang aduan rasuah dan salah guna kuasa melalui talian Hotline PRK Chini 013-5485988/09-5716000 atau e-mel kepada prkchini@sprm.gov.my,” menurut kenyataan itu.
SPRM turut menasihatkan semua calon dan parti politik yang bertanding mematuhi undang-undang dan peraturan pilihan raya selaras Akta SPRM 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2012).
PRK DUN Chini yang akan berlangsung 4 Julai ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Sharim Md. Zain dengan dua calon Bebas, Datuk Tengku Zainul Tengku Hussin dan Mohd. Shukri Mohd. Ramli.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, meninggal dunia pada 6 Mei lalu akibat serangan jantung di Hospital Kuala Lumpur.
Pada Pilihan Raya Umum lalu, Abu Bakar menang dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan calon Pas, Mohd. Fadhil Noor Abdul Karim yang mendapat 5,405 undi, manakala calon PKR, Mohamad Razali Ithnain memperoleh 1,065 undi. – MOHD. FAIRUZ YUSOF