7 JUN: Kerajaan harus mempertimbangkan minyak masak yang dibotolkan dalam pelbagai saiz dimasukkan kes senarai harga barangan kawalan agar rakyat tidak terbeban dengan harganya yang kini meningkat secara mendadak.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri perlu segera campur tangan dalam isu kenaikan mendadak harga minyak masak sehingga melebihi harga RM30.
Menurut beliau, pengguna sudah tertekan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengehadkan sumber pendapatan mereka khususnya buat mereka yang bekerja sendiri.
“Malah dalam tempoh berkurung juga, kita lihat trend penggunaan minyak masak adalah tinggi kerana tempoh berada di rumah lebih lama berbanding sebelum ini.
“Siasatan perlu dilakukan segera bagi mengenal pasti punca sebenar kenaikan ini berlaku dan pada masa sama memastikan ia tidak terus berleluasa.
“Tidak patut pengguna terus diseksa dengan pelbagai kenaikan harga barangan asas yang ternyata tidak munasabah,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohd Yusrizal Yusoff memaklumkan, pihaknya menerima banyak rungutan daripada orang ramai berhubung peningkatan harga minyak masak botol di pasaran.
Beliau berkata, pihaknya sudah melakukan pemantauan di semua pasar raya dan kedai runcit di negeri ini berkaitan harga barangan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
“Hasil pemantauan mendapati harga minyak masak botol dua kg dan lima kg didapati naik mendadak sejak dua hari lalu.
“Kita dapati kenaikan berlaku sekitar RM4 ke RM5 untuk setiap botol 5kg namun punca kenaikan masih belum dikenal pasti setakat ini,” katanya.
Justeru, Mohd Yusrizal menggesa supaya KPDNHEP dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan mencari kaedah agar kenaikan minyak masak boleh dibendung kerana ia akan membebankan pengguna.
Tambah beliau, pengguna kini terbeban dengan peningkatan kos sara hidup dan kehilangan pendapatan akibat COVID 19.
“Minyak masak adalah satu keperluan kepada pengguna untuk memasak di rumah dan kenaikan harga ini menjadi satu bebanan kepada mereka.
“Minyak masak bersubsidi sukar diperoleh oleh pengguna kerana stoknya terhad dan berharap pihak KPDNHEP menambah kuota kepada minyak masak bersubsidi bagi kemudahan pengguna,” katanya.