8 JUN: Long COVID ataupun Post Covid Syndrome merupakan suatu keadaan di mana bekas pesakit COVID-19 masih mempunyai simptom yang berpanjangan akibat jangkitan COVID-19.
Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis (CPRC) Perkhidmatan Hospital memaklumkan menerusi rujukan antarabangsa, NICE Guideline menyatakan pesakit yang telah mendapat jangkitan COVID-19 berkemungkinan untuk kekal mempunyai beberapa simptom dalam tempoh 12 minggu atau lebih.
“Walaupun pesakit telah sembuh dari jangkitan COVID-19, namun pesakit berkemungkinan mengalami simptom yang berpanjangan seperti sakit badan serta lesu. Malah, ada juga pesakit yang berasa lemah ingatan dan kurang daya tumpu.
“Ada juga pesakit yang masih mengalami kesukaran bernafas serta tidak dapat melakukan aktiviti yang biasa dilakukan sebelum mendapat jangkitan COVID-19,” katanya menerusi kenyataan yang dikongsikan menerusi Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.
Justeru, CPRC Pusat Hospital menasihatkan masyarakat untuk kekal berada di rumah melainkan ada keperluan mendesak. Dan mengamalkan 3W iaitu kerap cuci tangan dengan air dan sabun atau hand sanitizer, memakai pelitup muka yang disarankan dan mengamalkan penjarakan fizikal.
“Elakkan sembang dekat, elakkan pergi ke tempat yang sesak dan sempit. Daftar segera bagi mendapatkan vaksinasi COVID-19 dan pastikan anda hadir mengikut temujanji yang ditetapkan. Pembentukan imuniti kelompok adalah sangat penting bagi melindungi diri kita sendiri, keluarga juga negara.
“Andalah frontliners negara. Elakkan daripada mendapatkan jangkitan COVID-19. Mencegah lebih bak dari merawat. Patuhi segala SOP dan amalkan Perintah Kawalan Pergerakan Kendiri,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH