8 JUN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dilantik sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Maslan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keputusan berhubung pelantikan bekas Menteri Besar Perak itu, dibuat sebulat suara ahli Dewan Tertinggi BN yang bermesyuarat malam ini.
“Mesyuarat Dewan Tertinggi BN juga sebulat suara bersetuju melantik Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras BN Negeri Perlis yang baharu,” katanya menerusi kenyataan.
Terdahulu, malam ini, BN mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Tertinggi parti itu secara maya dengan dihadiri kesemua ahli empat parti komponen, iaitu UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Ahmad Zahid berkata, pada mesyuarat itu, dibentangkan Laporan Tahunan dan Laporan Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2020.
Katanya, Dewan Tertinggi BN juga memutuskan untuk menambah kekuatan jentera parti daripada negeri-negeri bagi usaha membantu pendaftaran vaksin, khususnya membabitkan warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan penduduk kawasan pedalaman.
“Dewan Tertinggi juga menyeru semua pihak agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi pengawalan penularan COVID-19 yang sangat membimbangkan ketika ini,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN