9 JUN: Israel mendakwa bangunan media Gaza yang dimusnahkan menjadi lokasi penjuang Hamas untuk menyekat pertahanan udara negara Zionis itu.
Duta Besar Israel ke Amerika Syarikat (AS), Gilad Erdan, memberitahu perkara itu dalam pertemuan bersama ketua agensi berita AP, Gary Pruitt, di ibu pejabatnya di New York, semalam.
Dalam pertemuan itu, Erdan memberikan penjelasan terperinci berhubung keputusan Israel menyerang bangunan 13 tingkat, Menara Jala di Gaza.
Bagaimanapun, agensi berita Associated Press (AP) menggesa rejim Zionis tampil dengan bukti kukuh berhubung dakwaan berkenaan.
“Unit ini menggunakan sistem sekatan elektronik terhadap sistem antipeluru berpandu Iron Dome,” katanya.
Erdan berkata, ia merujuk kepada perisai antipeluru berpandu yang memintas roket Hamas.
Beliau turut menawarkan bantuan dari Israel untuk membina semula biro AP, iaitu salah satu agensi berita terkemuka dunia, selain Agence France-Presse dan Reuters.
“Israel sudah memastikan tidak ada pekerja atau orang awam yang cedera dalam operasi penting ini.
“Sebaliknya, Hamas sengaja meletakkan senjata mereka di kawasan awam, termasuk di pejabat yang digunakan oleh media antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata, Hamas menempatkan alatan khas di dalam Menara Jala bagi mengganggu sistem antipeluru berpandu Iron Dome.
Sementara itu, AP dalam satu kenyataan menyifatkan perbincangan yang dijalankan itu berlangsung dalam keadaan positif dan konstruktif.
“Kami belum menerima bukti untuk menyokong dakwaan ini.
“AP terus meminta pendedahan penuh bagi apa pun bukti yang dimiliki oleh Israel,” katanya.
Terdahulu, AP dan kumpulan hak asasi media antarabangsa menggesa siasatan bebas dijalankan susulan dakwaan Menara Jala digunakan oleh Hamas yang menguasai Semenanjung Gaza.
Selain AP, menara itu turut menempatkan pejabat Al Jazeera yang berpangkalan di Qatar.