9 JUN: Kerajaan akan memberi keutamaan kepada empat kumpulan petugas barisan hadapan di sektor pelancongan yang bertugas sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mendapatkan vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, fasa pertama pemberian vaksin itu membabitkan petugas hotel yang dijadikan pusat kuarantin dan tenaga kerja hotel beroperasi sepanjang PKP penuh ini.
Beliau berkata turut mendapat suntikan vaksin awal ialah kakitangan industri penerbangan yang masih bertugas serta petugas pusat mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) yang dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV).
Bagaimanapun, Nancy berkata proses berkenaan akan bermula selepas vaksinasi kepada petugas barisan hadapan perubatan dan golongan berisiko tinggi di bawah PICK selesai.
“Fasa seterusnya akan melibatkan mereka yang berada dalam subsektor lain di bawah MOTAC berdasarkan kelonggaran pengoperasian sektor ekonomi selepas PKP 3.0
“Komitmen ini boleh menjadi pemangkin untuk industri pelancongan kembali bangkit dan membantu negara mempercepatkan fasa pemulihan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan.
MOTAC menerusi Biro Pameran dan Persidangan Malaysia (MyCEB) turut komited menawarkan pusat persidangan dan pamerannya sebagai PPV bagi meningkatkan kadar vaksinasi.
Ini termasuk Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di Johor Bahru, Pusat Konvensyen Setia Spice dan Pusat Konvensyen Seberang Perai Arena di Pulau Pinang, Pusat Konvensyen Borneo Kuching, Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah serta Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di Pahang.
“Langkah ini boleh membantu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Kesihatan melancarkan proses pemberian vaksin di seluruh negara,” kata Nancy lagi.