10 JUN: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh mula menampakkan hasilnya apabila jumlah kes baharu positif COVID-19 menurun kepada 5,671 kes dan 73 kes kematian lagi direkodkan di Malaysia dalam tempoh 24 jam lalu.
Dengan pertambahan itu jumlah kumulatif kes COVID-19 kini meningkat kepada 639,562 kes termasuk 556,030 sudah pulih dan 79,848 kes masih aktif, dengan kadar kebolehjangkitan tinggi, manakala angka kematian keseluruhan kini menjangkau 3,684 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) hari ini pula meningkat kepada 911 kes termasuk 462 memerlukan bantuan pernafasan.
“Selangor terus kekal menjadi negeri tertinggi merekodkan kes baharu COVID-19 dengan 1,510 kes, diikuti Kuala Lumpur (769 kes); Sarawak (631 kes) dan Negeri Sembilan (593 kes).
“Johor pula merekod 524 kes, diikuti Kedah (309 kes); Kelantan (262 kes); Sabah (233 kes); Melaka (184 kes) dan Pulau Pinang (166).
“Perak mempunyai 143 kes, Pahang (112) dan Terengganu (108), Labuan (106), Putrajaya (18) dan Perlis (3),” katanya hari ini.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan berasingan memaklumkan survelan genomik untuk virus SARS-CoV-2 yang dijalankan secara berterusan dari 3 sehingga 8 Jun, mengesan 23 kes varian baharu virus SARS-CoV-2, Variant of Concern (VOC) dengan 19 kes membabitkan varian Beta (B.1.351) dan empat kes varian Delta (B.1.617.2).
Katanya, kes varian Beta (B.1.351) yang telah dilaporkan adalah merangkumi lapan kes di Selangor, tiga kes di Putrajaya, masing-masing dua kes di Kuala Lumpur, Melaka, dan Kedah, serta masing-masing satu kes di Perak dan Perlis.
Manakala empat (4) kes baharu bagi varian Delta (B.1.617.2) adalah masing-masing dua (2) di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Sehingga 9 Jun 2021, jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 161 kes. Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 145 kes adalah VOC dan 16 kes adalah VOI.
“Daripada jumlah itu 123 kes VOC adalah varian Beta (B.1.351) (semua kes jangkitan tempatan); 13 kes varian Delta (B.1.617.2) (8 kes jangkitan impot dan tiga kes jangkitan tempatan); dan sembilan (9) kes adalah varian Alpha (B.1.1.7) (5 kes jangkitan import dan 4 kes jangkitan tempatan).
“Kes VOI yang dilaporkan pula adalah membabitkan 12 kes adalah varian Theta (P.3) (kesemua kes jangkitan tempatan); tiga kes adalah varian Eta (B.1.525) (kesemua kes jangkitan impot); dan satu (1) kes varian Kappa (B.1.617.1) (jangkitan impot),” katanya.