10 JUN: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 60 kluster perayaan termasuk 58 kluster berkaitan Hari Raya Aidilfitri dan dua kluster Hari Gawai bermula 13 Mei 2021 sehingga 10 Jun 2021.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham berkata sebanyak 13,023 individu telah disaring dalam kluster berkenaan, di mana terdapat 3,511 kes positif COVID-19 telah dikenal pasti seterusnya menjadikan kadar positif adalah sebanyak 27.0 peratus.
Beliau berkata KKM juga mengesahkan bahawa kluster perayaan berkenaan turut menyebabkan 20 individu maut, manakala 11 pesakit COVID-19 lagi masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Beliau berkata, negeri yang mencatatkan bilangan kluster perayaan tertinggi adalah Sabah dengan 11 kluster (18.3 peratus), Sarawak dengan lapan (8) kluster (13.3 peratus), serta Kedah dengan 7 kluster (11.7 peratus).
“Situasi peningkatan kes dan kematian yang dilaporkan bagi kluster perayaan ini dianggap serius dan membimbangkan kerana berlaku dalam tempoh masa yang singkat.
“Sekiranya masyarakat masih lagi leka serta tidak mengambil iktibar dan pengajaran dari aktiviti kunjung-mengunjung dan rentas negeri semasa musim perayaan tersebut, tidak mustahil peningkatan kes secara mendadak berulang di negara kita.
“Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk melindungi golongan rentan, khususnya ibu bapa yang uzur di kampung halaman dengan tidak mendedahkan mereka dengan jangkitan virus SARS-CoV-2 ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berikutan itu Dr Noor Hisham berkata Malaysia wajar mencontohi negara jiran yang telah berjaya mengawal situasi pandemik COVID-19 dengan baik di negara mereka.
Beliau berkata mereka telah membuktikan bahawa dengan kerjasama antara semua pihak dan kepatuhan yang tinggi kepada prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan, fungsi kehidupan kepada normal mampu menjadi kenyataan.
“Oleh itu, rakyat Malaysia digesa untuk kekal duduk di rumah jika tiada keperluan mendesak di luar.
“Daftarkan diri anda dan ahli keluarga bagi mendapatkan vaksin COVID-19 bagi membentuk imuniti kelompok (herd immunity) dan seterusnya mewujudkan persekitaran yang lebih selamat untuk semua lapisan masyarakat,” katanya.