10 JUN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) digesa membuat pemantauan dan meningkatkan pengeluaran kuantiti minyak masak peket agar lebih ramai pengguna dapat menikmati subsidi minyak masak tersebut.
Timbalan Setiausaha Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin berkata pihaknya serta ahli gabungannya terutama di luar bandar menerima aduan daripada pengguna mengenai kesukaran untuk mendapatkan minyak masak peket di tempat mereka.
“Apabila kenaikan minyak sawit yang terlampau tinggi buat masa ini, tidak mustahil terdapat pihak yang bergelap mata untuk mengaut keuntungan lebih yang memberi kesan kepada pengguna.
“Pemantauan ke atas minyak masak peket perlu dijalankan secara menyeluruh supaya tiada pihak yang bermain dengan kuantiti minyak masak yang bersubsidi ini dan isu integriti juga terpelihara,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, Nur Asyikin menyeru pihak berkuasa melakukan pemantauan teliti terhadap kualiti minyak masak peket secara berkala perlu dilakukan yang bukan berdasarkan aduan pengguna agar kualitinya sentiasa terkawal rapi.
Menurut beliau, ketelusan kualiti minyak masak sangat penting kerana ia melibatkan isu kesihatan pengguna yang menggunakannya.
“Rantaian bekalan minyak masak bersubsidi ini perlu melibatkan banyak pihak berkepentingan termasuk wakil persatuan pengguna supaya ia tidak mudah dimanipulasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Rata-rata pengguna sudah cukup terkesan dengan tekanan ekonomi akibat wabak pandemik COVID-19 ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan FOMCA amat berterima kasih dengan pihak KPDNHEP negeri yang bertungkus-lumus dalam membendung penyeludupan minyak masak ke kawasan sempadan.
“Aduan pengguna juga amat berguna dalam membantu pihak KPDNHEP untuk menumpaskan kegiatan penyeludupan minyak masak peket.
“Saya berharap KPDNHEP tidak mengabaikan suara pengguna dan lebih empati dengan nasib rakyat kerana segala kos kenaikan harga yang berlaku di sepanjang rantaian bekalan makanan akan ditanggung oleh pengguna sebagai pengguna akhir di rantaian tersebut.
“Jika pengguna sukar untuk mendapatkan minyak masak peket di tempat mereka atau berlaku isu sorok minyak masak, sila ajukan aduan secara terus ke pihak KPDNHEP melalui aplikasi WhatsApp iaitu 019-2794317,” katanya.