13 JUN: Kerajaan perlu menetapkan tarikh tutup bagi pendaftaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) untuk mewujudkan ‘rasa mendesak’ dalam kalangan rakyat.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata penetapan itu penting bagi memastikan semua rakyat mendaftar sebelum tarikh terbabit.
“Contohnya, katalah jika ditetapkan bahawa pendaftaran vaksinasi dibuka hanya hingga hujung Julai. Dengan penetapan tarikh tutup ini saya yakin lebih ramai rakyat merasakan penting untuk mereka segera mendaftar sekarang.
“Jika ada tarikh tutup, semua usaha kerajaan dan badan bukan kerjaan (NGO) boleh digembeling bagi menjayakan kempen pendaftaran vaksinasi dalam tempoh masa ditetapkan, malah individu pun akan pandang lebih serius serta usaha semua pihak akan jadi lebih berfokus.
“Paling penting, dengan data pendaftaran penuh bakal dimiliki melalui pendaftaran individu terbabit, kerajaan boleh meneliti maklumat lebih lengkap untuk membuat keputusan mengenai agihan vaksin ke lokasi-lokasi di seluruh negara,” katanya menerusi status dimuat naik di Facebook rasminya, hari ini.
Wan Saiful berkata, tanpa data betul mengenai taburan penerima, sukar untuk kerajaan membuat perancangan tepat dalam mengagihkan vaksin yang terhad.
“Daerah A mungkin mempunyai jumlah penerima lebih ramai daripada Daerah B. Maka strategi agihan di A sudah pasti perlu berbeza dari B.
“Dan jika di Kampung C bilangan penduduknya besar, maka mungkin boleh diwujudkan pusat pemberian vaksin (PPV) sementara atau PPV bergerak di situ, namun keputusan sebegini hanya boleh dibuat setelah ada data pendaftaran betul,” katanya.
Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, peratusan rakyat yang mendaftar untuk mendapatkan vaksin masih belum memuaskan ketika ini.
Justeru, beliau menyeru semua rakyat supaya segera mendaftar untuk mendapatkan imunisasi di bawah PICK kerana hanya vaksinasi cara untuk negara benar-benar menang dalam menangani COVID-19, malah suntikan itu antara perkara paling penting dalam strategi negara bebas pandemik terbabit.
Beliau berkata, sememangnya tidak dinafikan kemungkinan terdapat rakyat berdepan masalah untuk mendaftar program berkenaan, namun kerajaan sedang dan harus menjalankan pelbagai program capaian untuk membantu mereka mengatasi keadaan itu.
“Tetapi ramai juga masih mengambil sikap sambil lewa, mahu tunggu dan lihat dahulu sebelum mendaftar, manakala ada yang ambil mudah, asyik bertangguh daripada mendaftar.
“Di samping itu ada pula dakyah golongan antivaksin dan semua faktor ini menyebabkan kadar pendaftaran masih rendah.
“Apapun semua pihak mesti memandang serius keperluan untuk mendaftarkan diri dan keluarga bagi mendapatkan vaksinasi,” katanya.
Malaysia, jelasnya, mempunyai infrastruktur pelbagai yang boleh mempermudahkan proses suntikan vaksin.
“Kita ada dewan orang ramai dan dewan sekolah di kampung serta daerah yang boleh digunakan, manakala di lokasi tiada dewan, kita boleh sediakan pusat suntikan bergerak.
“Malah, kita memiliki banyak pusat kesihatan dan klinik swasta yang saya yakin boleh dimanfaatkan,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN
Get real time updates directly on you device, subscribe now.