13 JUN: Kerajaan bakal membentangkan Pelan Pemulihan Negara dalam tempoh terdekat sebagai persiapan untuk Malaysia bebas daripada COVID-19 yang melanda sejak lebih setahun lalu.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelan itu adalah bersandarkan data dan sains diperoleh daripada sudut pengurusan pandemik, ekonomi serta vaksinasi negara.
Katanya, pembentangan itu akan dibuat kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tempoh seminggu ini.
“Menteri-menteri utama sudah duduk membentangkan perkara itu dan pada dasarnya, pelan ini baik tetapi perlu diperhalusi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat klinik vaksinasi bergerak di Projek Perumahan Rakyat Seri Johor di Kuala Lumpur, hari ini.
Jelasnya, pelan itu kemudiannya akan dibentangkan kepada rakyat secara berperingkat sehingga usaha kerajaan dalam melandaikan jangkitan COVID-19 dan pemulihan semula ekonomi dapat direalisasikan.