15 JUN: Pengoperasian Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di seluruh negara sepanjang tempoh 14 hari pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 15 hingga 28 Jun 2021 adalah sama seperti sebelum, 31 Mei 2021.
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan berkata, pengoperasian berkenaan merangkumi semua aktiviti seperti keberadaan pelajar, aktiviti pengajaran dan pembelajaran, kehadiran staf akademik dan bukan akademik, pelaksanaan aktiviti pelajar, pelaksanaan peperiksaan antarabangsa dan badan profesional serta kemasukan pelajar antarabangsa.
“Pihak IPT boleh merujuk kepada SOP Sektor Pengajian Tinggi bertarikh 31 Mei 2021 yang telah diwartakan merangkumi aspek pengoperasian IPT bagi tempoh Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP).
“KPT ingin menasihati semua IPT dan para pelajar agar sentiasa mengikuti arahan yang dikeluarkan daripada pihak berkuasa dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Berikutan itu semua warga pendidikan tinggi boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai pengoperasian IPT dalam tempoh PKP melalui Bilik Gerakan COVID-19 KPT yang dibuka 24 jam di talian 03- 8870 6777/6949/ 6623/ 6628, melayari laman web IPT atau terus menghubungi IPT masing-masing.