15 JUN: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, memberi jaminan bahawa kerajaan menjangkakan Parlimen dibenarkan bersidang semula sekitar bulan September atau Oktober depan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Muhyiddin berkata komitmen berkenaan adalah pendirian beliau sejak dari awal bahawa sistem demokrasi berparlimen boleh berfungsi semula pada masa yang sesuai apabila kes COVID-19 terkawal dan negara hampir mencapai imuniti kelompok.
“Saya ingin memberikan komitmen bahawa Sidang Parlimen boleh diadakan dalam Fasa ini iaitu sekitar bulan September atau Oktober dengan mengikut SOP yang ketat.
“Ini adalah pendirian saya dari awal bahawa sistem Demokrasi Berparlimen boleh berfungsi semula pada masa yang sesuai, iaitu setelah kes-kes COVID-19 terkawal dan kita hampir mencapai imuniti berkelompok.
“Saya akan terus mendokong prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Jangan ada pihak-pihak yang sengaja menimbulkan keresahan dan kecelaruan dalam kalangan rakyat sehingga mengganggu tugas utama Kerajaan untuk menangani pandemik COVID-19,” katanya dalam perutusan sempena pelancaran Pelan Pemulihan Negara disiarkan secara langsung menerusi laman Facebooknya hari ini.
Sebelum ini pelbagai pihak terutama penganalisis politik dan pemimpin pembangkang mendesak kerajaan segera membenarkan Parlimen bersidang semula sidang Dewan Rakyat dengan alasan bagi menyuburkan amalan demokrasi dan mengembalikan fungsi semak dan imbang.
Antara pemimpin yang lantar bersuara termasuklah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibarahim, Pengerusi Penaja Parti Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan ramai lagi.