16 JUN: Penggunaan nama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam semua urusan surat menyurat dan dokumen rasmi kerajaan perlu ditulis sebagai Mahiaddin Bin Md Yasin atau Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Bin Haji Md Yasin, berkuatkuasa serta merta.
Menurut memo perhubungan Pejabat Perdana Menteri, arahan dikeluarkan susulan pandangan Jabatan Peguam Negara itu juga memaklumkan semua urusan surat menyurat dan dokumen rasmi kerajaan memerlukan tandatangan di atas nama Perdana Menteri hendaklah menggunakan nama rasmi berkenaan.
Bertarikh 3 Jun 2021, memo itu yang ditandatangani Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Dr Marzuki Mohamad, ditujukan kepada semua pegawai dan kakitangan Pejabat Perdana Menteri.
“Susulan pandangan Jabatan Peguam Negara, dimaklumkan penggunaan nama rasmi Perdana Menteri adalah seperti berikut, iaitu Mahiaddin bin Md Yasin atau Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Md Yasin.
“Sehubungan itu, semua urusan surat menyurat dan dokumen rasmi kerajaan yang memerlukan penggunaan dan tandatangan atas nama Perdana Menteri hendaklah menggunakan nama rasmi Perdana Menteri seperti di atas.
“Arahan ini berkuat kuasa serta merta,” menurut memo itu.