16 JUN: Mesyuarat Khas Raja-Raja Melayu yang diadakan di Istana Negara bagi membincangkan isu kesihatan dan politik negara petang ini, bermula sebentar tadi.
Sesi perbincangan itu dihadiri Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah dan beberapa Raja-Raja Melayu.
Antara Raja-Raja Melayu yang berkenan menghadiri sesi perbincangan itu adalah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj; Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut menghadiri sesi perbincangan itu.
Manakala Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah ketika memasuki Istana Negara sekitar jam 2.05 petang berkenan melambai ke arah sekumpulan petugas media yang membuat liputan di pekarangan bangunan itu, sejak pagi tadi.
Ketibaan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Negara pula dilihat pada jam 2.35 petang, manakala setakat jam 3 petang, tidak kelihatan kenderaan rasmi membawa Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Perbincangan itu adalah yang kedua diadakan bagi membincangkan dua isu terbabit dengan pertama kali pada 25 Oktober tahun lalu.
Dalam pertemuan itu, Raja-Raja Melayu dijadualkan mendapat taklimat khas daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali yang mengetuai beberapa ketua agensi kerajaan.
Selain itu, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menghadiri sesi perbincangan berkenaan.