16 JUN: Malaysia rakam penghargaan kepada China dan Jepun kerana membantu kerajaan dalam proses pemerolehan dan menyumbang vaksin untuk rakyat di negara ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam dua kenyataan berbeza mengucapkan terima kasih kepada dua rakan sejawatnya, Wang Yi dari China dan Motegi Toshimitsu dari Jepun.
Hishammuddin berkata, China telah bersetuju menyumbang 500,000 dos SinoVac-CoronaVac, sementara Jepun berhasrat menyumbang vaksin AstraZeneca yang dikeluarkan di negara itu ke Malaysia.
“Malaysia sangat menghargai sokongan yang tidak ternilai yang diberikan oleh China. Menerusi inisiatif terbaharu ini, Malaysia berharap hubungan yang erat dan mesra akan diperkukuh untuk faedah bersama kedua-dua negara.
“Ini merupakan langkah signifikan melibatkan hubungan Malaysia-Jepun demi faedah kedua-dua negara. Malaysia sangat menghargai sokongan tidak ternilai yang diberi oleh Jepun, kerjasama kukuh bersama sepanjang pandemik ini,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata sumbangan dan inisiatif tersebut akan mempercepatkan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Sebelum ini, kerajaan Jepun mengumumkan akan menyumbang vaksin AstraZeneca yang dikeluarkan di negara itu kepada Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand.
Berikutan itu Duta Jepun di Malaysia, Toshimitsu memaklumkan vaksin akan dihantar mulai Julai depan, jika keadaan mengizinkan, dan akan segera membuat penyelarasan.