17 JUN: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhak menetapkan tarikh bagi persidangan semula Parlimen atas alasan dirasakan wajar.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Azhar Harun, berkata, justeru Parlimen akan menunggu tarikh persidangan ditetapkan nanti.
Katanya, komitmen Muhyiddin untuk mengadakan sidang Parlimen sekitar September atau Oktober tidak terlalu lewat, sebaliknya mencukupi bagi menghadapi krisis COVID-19.
“Perdana menteri berkuasa menetapkan tarikh sidang Parlimen dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Beliau berhak memanggil sidang mengikut Perlembagaan, malah beliau sudah menyatakan secara rasional berkenaan kewajaran tempoh terbabit, antaranya kerana angka COVID-19 dan sebagainya,” katanya menerusi kenyataan kepada media.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah, semalam menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin selepas baginda mengadakan perbincangan dengan lapan Raja-Raja Melayu selama lebih empat jam di Istana Negara bagi membincangkan isu kesihatan dan politik negara.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, menerusi kenyataan memaklumkan, pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin itu bagi membolehkan pelan pemulihan dan ordinan darurat dibahaskan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.