17 JUN: Kes jangkitan baharu COVID-19 meningkat semula sebanyak 5,738 kes yang menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini sebanyak 678,764 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Selangor kekal merekodkan jumlah tertinggi dengan 1,858 kes namun menunjukkan penurunan kes berbanding semalam iaitu 1,914 kes.
“Negeri Sembilan hari ini mencatatkan peningkatan kes mendadak iaitu 1086 kes berbanding semalam iaitu 607 manakala negeri lain yang menunjukkan peningkatan ialah Kuala Lumpur (641), Johor (449), Sabah (248), Melaka (184), dan Putrajaya (7).
“Bagi negeri yang mencatatkan penurunan kes baharu COVID-19 hari ini ialah Sarawak (559), Kedah (197), Kelantan (154), Pulau Pinang (97), Labuan (97), Terengganu (77), Pahang (54), dan Perak (30) manakala Perlis hari ini merekodkan sifar kes baharu,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini.
Sementara itu, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) mengesahkan seramai 1,476,753 individu sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam.
Berdasarkan infografik yang dikongsikan menerusi Facebook jawatankuasa khas itu, seramai 3,642,195 individu pula menerima dos pertama, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini sebanyak 5,108,948 dos, setakat semalam.
Lima negeri yang menerima kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 188,497, diikuti Sarawak (169,172), Johor (143,268), Perak (139,623) dan Kuala Lumpur (132,417).
Sehingga semalam, sebanyak 13,837,410 individu sudah mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksinasi.
Sementara itu, menurut laporan harian pemberian vaksin, sebanyak 204,838 dos suntikan selesai semalam, iaitu masing-masing-masing 196,775 dan 8,064 bagi suntikan pertama dan kedua.
Mengikut perancangan program imunisasi itu, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April lalu, membabitkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.
Fasa kedua bermula April hingga Ogos ini pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya (OKU), manakala fasa ketiga yang dijadual pada Mei tahun ini hingga Februari 2022, membabitkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara, dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH