17 JUN: Jabatan Imigresen (JIM) menahan 33 pendatang asing tanpa izin (PATI) hasil serbuan ke atas 16 kedai runcit milik warga asing di Bukit Sentosa dan Dengkil, Selangor, pada Isnin dan Selasa lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata kesemua PATI yang ditahan terdiri daripada 18 lelaki warga Bangladesh, Myanmar (7), Indonesia (5), Pakistan (2) dan India (1).
Beliau berkata pemeriksaan awal mendapati kesemua PATI disyaki melakukan kesalahan menyalahgunakan pas atau permit dan juga tidak memiliki pas yang sah untuk bekerja di premis tersebut.
“Pemeriksaan di semua premis terlibat mendapati kesemua premis mempunyai lesen perniagaan yang dimiliki dan didaftarkan atas nama warganegara Malaysia namun disyaki disewakan kepada warganegara asing.
“Semasa serbuan dijalankan terdapat warga asing yang cuba melarikan diri dan membuat provokasi. Bagaimanapun, kesemua warga asing ini berjaya ditahan dan situasi dapat dikawal,” katanya dalam satu kenyataan dikongsi menerusi laman Facebook Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin hari ini.
Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata kesemua PATI yang ditahan selepas serbuan dibawa ke Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya untuk menjalankan ujian saringan COVID-19 terlebih dahulu sebelum ditempatkan di Depoh Imigresen Semenyih, Selangor.
Beliau berkata antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, penyalahgunaan pas dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Khairul Dzaimee berkata pihaknya jug mengeluarkan notis kepada enam warganegara tempatan untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.
“Jabatan ini sentiasa prihatin dengan aduan dan maklumat yang disalurkan oleh orang ramai. Justeru, orang ramai digesa supaya menyalurkan maklumat tentang aktiviti PATI atau mana-mana premis yang disyaki dijalankan oleh warga asing secara tidak teratur,” katanya.