18 JUN: Sebanyak tiga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan diwujudkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tahan membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Tembeling, Kampung Orang Asli Sg Kuching dan Klinik Desa Kampung Gusai, Jerantut yang akan bermula pada 22 Jun sehingga 24 Jun ini.
Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin menyeru kepada semua penduduk di Mukim Ulu Tembeling, berumur 18 tahun ke atas untuk hadir pada tarikh dan jadual yang telah ditetapkan untuk sama-sama mengambil vaksin ini sebagai ikhtiar untuk menghindari dari jangkitan wabak COVID-19.
“Pagi tadi saya bersama Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris dan beberapa agensi seperti JKR, JKM, APM, BOMBA, PAID, JAKOA, PKD, SKMM, PDRM ,MTSP dan lain-lain membuat tinjauan ke SK Ulu Tembeling dan Balai Raya KOA Sungai Kuching yang akan dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dalam rangka program vaksinasi bagi Mukim Ulu Tembeling yang akan dilaksanakan pada minggu hadapan bermula pada 22 Jun – 24 Jun.
“SK Ulu Tembeling akan dijadikan PPV bagi penduduk Kampung. Bantal, Kampung Kuala Sat dan Kampunh Bukit Mat Daling manakala Klinik Desa Kg. Gusai akan dijadikan PPV bagi penduduk di sana.
“Kita berikhtiar seterusnya bertawakkal kepada Allah Taala. Saya berharap agar penglibatan warga Ulu Tembeling dalam pengambilan vaksin ini dapat mempercepatkan usaha membentuk imuniti kelompok (herd immunity) bagi rakyat Malaysia dalam usaha kerajaan untuk mengekang penyebaran virus COVID-19, “katanya.
Sebelum pulang, Mohd Zakhwan turut mengadakan ziarah kasih dan menyampaikan sumbangan daripada Kerajaan Negeri Pahang kepada 30 keluarga di Kampung Bukit Mat Daling dan Kuala Sat yang telah dan sedang menjalani proses kuarantin.
“Semoga Allah Taala mengurniakan kesembuhan buat mereka semua,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH