22 JUN: Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menangguhkan pendakwaan terhadap Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Peter Anthony di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sepatutnya dilakukan hari ini ke 10 Julai.
Memetik laporan BH Online, penangguhan itu diberikan kerana Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah dimasukkan ke hospital di Kota Kinabalu, semalam.
Pertuduhan sepatutnya dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob pagi tadi.
Namun, seperti yang dijelaskan oleh peguam Peter, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, Peter dimasukkan ke wad di Hospital KPJ Kota Kinabalu lewat petang semalam kerana mengalami vertigo.
“Beliau sepatutnya menaiki kapal terbang ke Kuala Lumpur pada pukul 4.15 petang semalam,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shahruddin Wan Ladin seterusnya memohon mahkamah menetapkan satu tarikh baharu untuk menyebut semula kes itu yang didaftarkan di hadapan Hakim Azman Ahmad.
Mahkamah kemudian menetapkan 10 Julai ini untuk Anthony didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Sebelum ini, Anthony didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu atas lima pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan bersubahat kes pecah amanah membabitkan dana lebih RM8.75 juta.
Bagi pertuduhan itu, beliau dibenarkan diikat jamin RM500,000 dengan dua penjamin, dengan dua syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Sabah sekali dalam dua bulan.
Ketika ditemui di luar mahkamah selepas prosiding selesai, Mohamed Haniff berkata, difahamkan anak guamnya akan berdepan satu pertuduhan hari ini.