23 JUN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menafikan dakwaan akan berlaku kenaikan harga tepung gandum mulai 1 Julai ini seperti yang tersebar di media sosial.
Menterinya, Datuk Seri Dr Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya juga sama sekali tidak memberi kelulusan kepada mana-mana pengilang untuk menaikkan harga barangan bersubsidi itu.
Menurut beliau, pihak kementerian setakat ini hanya menerima satu permohonan daripada pihak pengilang untuk menaikkan harga tepung gandum tanpa subsidi dalam pek satu kilogram (kg) dan pek 25kg.
“Berdasarkan syarat khas lesen mengilang di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, semua pengilang tepung hendaklah mendapatkan kebenaran Pengawal Bekalan sebelum menaikkan harga jualan tepung gandum.
“Oleh yang demikian, dakwaan kenaikan harga tepung gandum mulai 1 Julai ini adalah tidak benar,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan harga tepung gandum bersubsidi adalah masih pada harga yang ditetapkan kerajaan iaitu RM1.35 per paket 1kg.
“Justeru, tiada kenaikan harga tepung gandum bersubsidi,” katanya.
Mengikut rekod, terdapat 11 kilang mengeluarkan dan menjual enam jenis tepung gandum yang disubsidi kerajaan.
Terdahulu, satu mesej berhubung dakwaan harga tepung akan dinaikkan berkuat kuasa 1 Julai depan tular dalam laman sosial dan aplikasi WhatsApp.
Mesej itu mendakwa harga tepung paket 25kg akan meningkat RM3 sepaket manakala harga tepung sekarton meningkat RM2 sekarton.