22 JUN: Akibat melanggar Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), keahlian Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin terhenti serta-merta.
Tindakan tersebut dibuat berikutan bekas Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pekan itu menjadi calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.
Setiausaha kerja Bersatu, Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya berkata, Tengku Zainul didapati telah mengemukakan borang penamaan calon dalam PRK DUN Chini pada Sabtu lalu sebagai calon Bebas tanpa kebenaran atau persetujuan parti itu.
“Maka dengan ini dimaklumkan bahawa menurut Fasal 10.2.2 dan 10.2.4 Perlembagaan Bersatu, keahlian Datuk Tengku Zainal dalam Bersatu adalah terhenti secara serta-merta,” katanya menerusi surat yang dihantar kepada Tengku Zainul hari ini.
Pada hari penamaan calon PRK DUN Chini Sabtu lalu, pertandingan tiga penjuru melibatkan calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Sharim Md. Zain bersama dua calon bebas iaitu Tengku Zainul dan Mohd. Shukri Mohd. Ramli.
PRK DUN Chini diadakan susulan penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Datuk Seri Abu Bakar Harun meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung. – MOHD. FAIRUZ YUSOF