24 JUN: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sudah mengagihkan zakat berjumlah RM732.55 juta kepada golongan asnaf bagi tempoh Mac hingga Disember tahun lalu melalui agihan secara langsung dan tidak langsung.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata dalam tempoh Januari hingga Mei lalu pula, MAIWP memperuntukkan RM303 juta zakat kepada golongan asnaf.
Beliau berkata agihan zakat itu membabitkan 30 skim bantuan, inisiatif bantuan perniagaan (Musa’adah Tijariyyah) dan bantuan zakat kecemasan termasuk belanja pengurusan, prasarana dan kemudahan asnaf.
“MAIWP turut mengadakan beberapa pembaharuan sejak Mac tahun lalu seperti memperkenalkan aplikasi Mobile Jejak Asnaf (MoJA) bagi membantu orang ramai melaporkan kewujudan golongan asnaf.
“Aplikasi itu turut dilengkapi teknologi sistem pengesanan lokasi (GPS) bagi memudahkan Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP mengesan golongan asnaf yang memerlukan bantuan di Wilayah Persekutuan,” katanya mengumumkan prestasi zakat MAIWP bagi tempoh Mac 2020 hingga Mei lalu dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Dalam pada itu Zulkifli berkata, MAIWP juga akan memperkenalkan perkhidmatan bantuan lain menerusi Projek Food Truck MAIWP yang akan menyediakan makanan secara percuma kepada 750 golongan asnaf dan yang memerlukan setiap hari untuk tempoh lima hari.
“Projek Kedai Makan Usahawan MAIWP membabitkan tiga kedai milik usahawan asnaf akan memberi manfaat makanan percuma kepada 300 golongan asnaf dan yang memerlukan selama lima hari seminggu.
“Projek Foodrider MAIWP membabitkan 10 kakitangan MAIWP yang ditugaskan menghantar Kit Bantuan Makanan kepada asnaf akan dilaksanakan,” katanya