24 JUN: Kes baharu COVID-19 di Brazil mencatatkan angka tertinggi semalam, iaitu sebanyak 115,228 kes, sekali gus menyaksikan jumlah keseluruhannya adalah sebanyak 18,168,881 kes sejak pandemik terbabit melanda negara berkenaan.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Brazil seperti dilaporkan agensi berita Xinhua, sebanyak 2,392 kes kematian terbaharu dicatatkan dalam hari sama, menjadikan jumlah keseluruhan penduduk yang terkorban akibat COVID-19 meningkat kepada 507,109 kes.
Katanya, Sao Paulo, iaitu negeri paling padat penduduk kekal sebagai kawasan paling teruk dijangkiti, malah menunjukkan peningkatan kes dan jumlah kemasukan pesakit ke hospital, menyebabkan sekatan pergerakan dilanjutkan sehingga 15 Julai ini.
Manakala beberapa negeri, iaitu Mato Grosso do Sul, Santa Catarina dan Parana turut menyaksikan pertambahan penularan jangkitan, sehingga sistem penjagaan kesihatan di situ hampir lumpuh.
Brazil mencatat jumlah kematian akibat COVID-19 kedua tertinggi di dunia, selepas Amerika Syarikat (AS) dan jangkitan ketiga terbanyak di belakang AS serta India.