24 JUN: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan memastikan sektor pertanian, penternakan, perikanan serta industri makanan beroperasi seperti biasa selaras dengan prosedur operasi standard menerusi Pelan Pemulihan Negara.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata usaha itu bagi membolehkan operasi sektor ini dikendalikan tanpa sebarang gangguan, sekali gus menjamin kelangsungan rantaian ekonomi serta pengusaha terbabit.
“Komitmen ini dapat dilihat apabila sehingga 23 Jun 2021, MAFI melalui Jabatan dan Agensi dibawahnya, mengeluarkan sebanyak 105,869 surat kebenaran pembabitan penggiat dalam sektor pertanian tidak formal, termasuk aktiviti rantaian pembekalan dan pemasaran berkaitan keperluan makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau operasi di loji pemprosesan sarang burung walet PT Swift Marketing Sdn Bhd bagi memastikan operasinya yang terbabit dalam pasaran eksport tidak terganggu dan berterusan sepanjang masa.
Yang turut hadir, Timbalan I MAFI, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DSV), Datuk Dr Norlizan Mohd Noor.
Loji itu adalah antara 41 loji berdaftar dengan pihak General Administration of Customs of People’s Republic of China (GACC) dan diberikan kelulusan untuk mengeksport sarang burung walet mentah yang bersih ke China.
Sehingga tahun 2021, sebanyak 41 loji telah diluluskan pihak berkuasa negara berkenaan, iaitu 38 loji sarang burung walet bersih (EBN-RC) dan tiga buah loji sarang burung walet belum bersih (EBN-RUC).
Berhubung sektor eksport burung walet, Ronald berkata, bagi memenuhi protokol itu ke China, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) sudah mengakreditasi dan memberi pentauliahan persijilan Veterinary Health Mark (VHM) kepada 30 loji pemprosesan dan bagi persijilan Good Veterinary Hygiene Practice (GVHP) sebanyak 44 loji pemprosesan, manakala sebanyak 2,905 buah rumah burung walet berjaya memperoleh persijilan MyGAP.
Jelasnya, MAFI sentiasa menggalakkan pengeksportan produk sarang burung walet ke Iuar negara bagi meningkatkan nilai eksport produk dan daya saing industri terbabit secara keseluruhannya.
Ronald berkata MAFI sentiasa menggalakkan pengeksportan produk sarang burung walet ke Iuar negara
“Pada tahun 2019, jumlah eksport sektor ini adalah sebanyak 5,654 tan metrik bernilai RM1.154 bilion dan dilihat sebagai antara industri berasaskan ternakan yang menjadi penyumbang besar kepada ekonomi negara, manakala pada 2020, jumlah eksport adalah sebanyak 3,640 tan metrik yang bernilai RM 1.385 billion.
“Sehingga April 2021, eksport Sudah mencecah sebanyak 962 tan metrik dengan nilai RM714 juta yang menunjukkan eksport komoditi ini kekal kukuh, terutama di kala negara masih mengharungi penularan COVID-19,” katanya.
Ronald berkata, bagi menggalakkan sektor itu juga, MAFI melalui DVS mewujudkan Program Sistem Pendaftaran Premis Walet dikenali sebagai Malaysia EBN Traceability System (METS) dalam usaha mengukuhkan sistem daya jejak untuk mencapai piawaian global serta menjadi antara syarat dalam pengeksportan sarang burung walet Malaysia ke China.
Katanya, DVS turut mengambil pelbagai langkah untuk terus meningkatkan pengeluaran Edible Bird Nest (EBN) membabitkan aktiviti dalam semua rantaian nilai berkaitan industri EBN, iaitu pengeluaran sarang burung walet, pengumpulan, pemprosesan dan pemasaran.
Langkah itu, jelasnya, termasuk mengalakkan pendaftaran premis walet dengan DVS bagi tujuan pemantauan, malah secara keseluruhannya, sebanyak 12,954 premis walet sudah didaftarkan DVS di seluruh negara setakat ini.
“DVS sentiasa memantau industri ini bagi mengelakkan penyalahgunaan sumber produk tiruan dan mengamalkan urus tadbir industri diiktiraf negara pengimport dengan sentiasa berkolaborasi bersama pemain industri membabitkan pihak berkuasa dalam dan luar negara bagi memastikan industri ini beroperasi mengikut peraturan ditetapkan.
“Ini adalah penting supaya syarikat dan loji pemprosesan dalam negara memenuhi spesifikasi, syarat serta piawaian ditetapkan negara pengimport, seterusnya layak membuat permohonan bagi tujuan pengeksportan.
“DVS juga sudah mengambil inisiatif mengadakan kursus berkaitan Good Manufacturing Practice (GMP) untuk dihadiri pihak pemprosesan sarang burung walet supaya loji pemprosesan menepati kehendak kualiti, terutama pengauditan daripada pihak kerajaan China yang menjadi pengimpot utama sarang burung walet,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN