25 JUN: Kerajaan disarankan mengutamakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dan Institut Pendidikan Guru (IPG) yang berdaftar Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) bagi pengambilan khas guru secara ‘one-off’ yang diumumkan baru-baru ini.
Pengerusi Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam (MEDC), Prof Datuk Dr Norazah Mohd Nordin berkata, kumpulan itu perlu diutamakan mengisi kekosongan kerana ada yang belum dipanggil temu duga atau belum mendapat penempatan walaupun lulus temu duga.
Beliau berkata, golongan ini perlu diutamakam memandangan graduan terbabit menjalani proses sewajarnya menjadi guru termasuk mempelajari falsafah dan kualiti pendidikan, kurikulum dan pedagogi, penilaian dalam pendidikan serta kemahiran insaniah.
“Graduan terbabit juga menjalani latihan mengajar di sekolah, dibimbing guru berpengalaman dan didedahkan aktiviti kurikulum terkini, ko-kurikulum dan budaya positif persekolahan negara, termasuk elemen pembinaan insan seperti kepimpinan, kerja berpasukan dan komunikasi.
“Graduan pendidikan juga dilengkapi dengan kemahiran menyelesaikan masalah berdasarkan teknologi Revolusi Industri 4.0 termasuk pendigitalan pendidikan iaitu ilmu sangat penting dalam suasana PDPR
“Penekanan perlu diberikan kepada graduan mempunyai kelayakan ikhtisas dalam bidang pendidikan kerana mereka mengikuti kurikulum pendidikan yang menepati standard Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dalam pelbagai pengkhususan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan akan membuat pengambilan khas guru secara ‘one-off’ bagi mengisi 18,702 kekosongan guru atau Pegawai Perkhidmatan Pendidikan gred DG41 yang dihadapi di seluruh negara terutama di Sabah, Sarawak, Johor dan Selangor.
Berikutan itu, Radzi berkata, KPM akan menyiarkan iklan pengambilan guru berkenaan pada 7 Julai ini manakala penempatan secara berperingkat-peringkat bermula pada Oktober nanti.
Dalam pada itu, Norazah memberitahu jika terdapat keperluan mendesak melantik guru daripada mereka yang tidak memiliki ijazah sarjana muda pendidikan, MEDC mencadangkan program ‘upskilling’ dan ‘reskilling’ dilakukan dengan kerjasama universiti awam (UA) dan IPG dalam bidang perguruan.
“Tidak dinafikan langkah KPM itu memberi peluang pekerjaan kepada graduan kerana mengikut data Jabatan Perangkaan, kadar pengangguran semasa bagi April 2021 seramai 742,000 orang.
“Justeru mereka juga disarankan mengambil Diploma Lepasan Ijazah Pendidikan sebagai satu kriteria perlu dipatuhi, ditawarkan UA dan IPG supaya mereka dilatih dengan semua kemahiran yang perlu,” katanya.