27 JUN: Seorang ahli perniagaan dari Malaysia, ditemui mati di dalam kereta di tepi jalan berhampiran sebuah kuil di Bang Phli, Samut Prakan, Bangkok, Thailand, kelmarin.
Timbalan Ketua Penyiasat Balai Polis Bang Phli Pol, Kapten Pongnarin Nontanok, berkata mayat lelaki berusia 43 tahun itu dijumpai di tempat duduk pemandu dengan keadaan enjin masih hidup.
“Polis bergegas ke tempat kejadian selepas dihubungi penduduk tempatan pada petang Jumaat dan mendapati mangsa sudah meninggal dunia.
“Polis turut menjumpai arang yang sudah terbakar di dalam kereta berkenaan.
“Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kes itu,” katanya.
Nontanok berkata, isteri mangsa pada pagi hari sama ada membuat laporan di Balai Polis Bang Phli berhubung kehilangan suaminya.
Media tempatan melaporkan mangsa dipercayai sudah meninggal dunia sekurang-kurangnya tujuh atau lapan jam sebelum mayatnya ditemui.
Penduduk tempatan menghubungi polis selepas mendapati kereta itu berada di kawasan tempat letak kereta berhampiran kuil berkenaan sejak malam Khamis.