27 JUN: Dua set tren empat gerabak pertama Transit Aliran Ringan (LRT) di bawah Projek Kuala Lumpur Additional Vehicles 27 (KLAV27) sudah beroperasi di Laluan Kelana Jaya, semalam.
Menerusi kenyataan Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA), set bernombor 192 dan 193 beroperasi itu adalah antara 27 set tren empat gerabak yang dibeli syarikat pengangkutan terbabit dalam usaha memastikan pengguna mendapat perkhidmatan lebih selesa dan bertaraf dunia.
“Dua set tren ini beroperasi selepas selesai menjalani sesi ujian dan pentauliahan serta mendapat permit kelulusan beroperasi daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Mula digunakan semalam dalam operasi laluan rel urban negara paling sibuk, dua tren set empat gerabak model Bombardier Innovia Metro 300 baharu ini, dilengkapi dengan beberapa ciri penambahbaikan, berbanding 14 unit set tren bermodel sama yang digunakan sejak 2018 dan diperoleh di bawah inisiatif KLAV14,” katanya.
Kenyataan itu berkata, kesemua 27 tren empat gerabak itu yang secara keseluruhan bernilai RM1.7 bilion, dilengkapi dengan beberapa ciri penambahbaikan, termasuk dalam sistem brek, sistem pintu penumpang, sistem pengurusan tren dan sistem kuasa sokongan (auxialiary).
“Tren ini juga dilengkapi pengenalan ‘Digital Route Map Display’. Ini adalah sebahagian daripada Sistem Informasi Penumpang diintegrasikan dengan sistem pintu yang sebelum ini berjenis LED,” katanya.
Setakat ini, jelasnya, lapan set tren empat gerabak KLAV27 sudah berada di Depoh LRT Laluan Kelana Jaya di Subang, termasuk dua yang beroperasi itu, manakala enam masih dalam pelbagai peringkat ujian, pentauliahan dan kelulusan daripada APAD.
“Ujian sistem brek, ujian kuasa tarikan tren (train traction power) serta ujian tanpa gagal (fault free run) adalah antara siri-siri ujian atau pentauliahan sudah dilalui tren-tren ini sebelum diluluskan APAD,” katanya.
Pada masa sama, kanyataan itu berkata, bagi memastikan perjalanan mereka lebih mudah dan lancar bersama Rapid KL, pengguna digalakkan merancang perjalanan mereka dengan menggunakan aplikasi ‘PULSE’ yang boleh dimuat turun melalui ‘Google Play Store’ atau ‘Apple App Store’.
Pada Disember lalu, PRASARANA melancarkan PULSE yang menampilkan pelbagai ciri, termasuk masa ketibaan, kiraan tambang, status perkhidmatan pengangkutan, notifikasi ‘Add Push’. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN