28 JUN : Polis akan memanggil Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed untuk memberi keterangan berhubung dakwaan melanggar operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP), demikian menurut Ketua Polis Daerah Jeli, DSP Ahmad Ariffin.
Menurut beliau, selain Mustapa, beberapa individu lagi akan turut dipanggil bagi memberi keterangan berhubung kes tersebut.
Kata Ahmad , Ahli Parlimen Jeli itu dan beberapa individu lagi akan disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
“Kertas siasatan telah dibuka dan polis akan panggil mereka yang terlibat dalam pelanggaran SOP itu untuk hadir memberi keterangan,” ujarnya.
Pihak polis tegas beliau, tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melanggar SOP walaupun melibatkan pemimpin kerajaan.
Mustapa semalam telah memohon maaf di atas perbuatan melanggar SOP dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Sabtu lalu, tular gambar Mustapa sedang menjamu selera bersama beberapa individu di sebuah kedai makan di Jeli.