29 JUN: Krisis dana kemanusiaan kian meruncing bakal menjejaskan kira-kira 5.9 juta penduduk Somalia untuk mendapat akses perkhidmatan penting yang diperlukan untuk melindungi dan menyelamatkan nyawa, lapor Agensi Anadolu.
Ini berikutan, keperluan bantuan kemanusiaan meningkat dengan ketara pada 2021. Bagaimanapun, dana bagi memenuhi keperluan itu semakin mengecil sejak enam tahun kebelakangan ini.
“Rakan kerjasama kemanusiaan hampir tidak dapat memenuhi keperluan asas bagi membantu mereka yang kebuluran, menderita dan terpaksa menjadi pelarian meliputi wanita serta kanak-kanak,” kata Wakil Khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Residen dan Penyelaras Kemanusiaan untuk Somalia, Adam Abdelmoula, dalam laporan dikeluarkan Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), semalam.
OCHA sekali gus memberi amaran, sekiranya masalah dana itu tidak diatasi segera, ia boleh mencetuskan bencana kemanusiaan terburuk di Somalia.
Menurut laporan itu, menjelang September depan, kira-kira separuh daripada 16 juta penduduk Somalia memerlukan bantuan kemanusiaan, manakala sekitar 2.9 juta menjadi pelarian dan 2.8 juta lagi sangat memerlukan bantuan makanan.
Ketika ini, sejuta kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan, malah lebih menyedihkan apabila bencana kemarau dan banjir, selain kesan ketegangan politik, COVID-19 serta serangan belalang juta, memburukkan lagi situasi kemanusiaan di Somalia.