2 JULAI: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) melanjutkan moratorium bayaran pinjaman kepada 378,507 peminjam agensi berkenaan berkuat kuasa hari ini sehingga 31 Julai depan.
Pengerusi Eksekutif (AIM), Datuk Seri Lajim Ukin berkata, langkah berkenaan juga dibuat selepas lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang diumumkan kerajaan.
Berikutan itu, Lajim berkata AIM memberi penangguhan bayaran balik pinjaman selama lapan minggu bermula tarikh PKP 3.0 berkuat kuasa secara penuh pada 1 Jun lalu.
“Semua mesyuarat pusat, perjumpaan pusat khas (PPK) dan kutipan bagi Skim Pembiayaan Ikhtiar, Simpanan Tabung Kumpulan, Tabung Kebajikan dan Kesejahteraan Sahabat (TKKS) serta Tabung Khairat Hutang juga ditangguh sehingga 31 Julai ini.
“AIM juga menangguhkan pembentangan permohonan bagi Skim Pembiayaan Ikhtiar, pengeluaran tabung kumpulan, tuntutan tabung khairat hutang, penjadualan semula pembiayaan dan pembentangan untuk tangguh bayar balik pinjaman,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Bagaimanapun, Lajim berkata kutipan balik bayaran SPI melalui kaedah bukan tunai (e-pay) adalah dibenarkan.
“AIM sebelum ini telah memberi penangguhan bayaran balik selama 16 minggu secara automatik kepada semua sahabat AIM ketika PKP 1.0 dilaksanakan.
“Ini diikuti dengan penangguhan bersasar sehingga Oktober 2020 membabitkan seramai 12,568 peminjam dan untuk mereka yang layak dan benar-benar terkesan penangguhan masih lagi diteruskan sehingga ke hari ini,” ujarnya.