2 JULAI: Orang ramai khususnya masyarakat Orang Asli (OA) diharapkan dapat memanfaatkan dengan sebaiknya kemudahan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bas Bergerak yang telah dilaksanakan sejak 26 Jun lalu.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, insiatif kemudahan itu dilaksanakan pihaknya bagi memberikan lebih ramai rakyat yang menerima suntikan buat penduduk di luar bandar dan kawasan pendalaman.
“Hari ini saya menyantuni para penerima vaksin COVID19 di kalangan pemimpin masyarakat Orang Asli di Kampung Tanah Abang, Daerah Mersing, Johor. Dalam lawatan ini saya sempat beramah mesra bersama penerima vaksin.
“Saya amat gembira melihat penerimaan vaksin dalam kalangan masyarakat Orang Asli dan pastinya pihak berwajib akan sentiasa mempertingkatkan usaha untuk memastikan mereka menerima vaksin.
“Di samping itu, saya juga melawat PPV Bas Bergerak Mara Liner untuk melihat perkembangan dan proses suntikan vaksin di situ. Moga kemudahan ini dimanfaatkan dan lebih ramai lagi akan mendapat vaksin,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini.
Terdahulu, Abdul Latiff memaklumkan PPV Bas Bergerak di bawah seliaan kementeriannya dan Mara Liner itu berupaya memberi suntikan vaksin COVID-19 antara 400 dos sehari kepada penduduk luar bandar dan kawasan pendalaman.
Beliau berkata, ia antara inisiatif terbaharu KPLB yang sedang dan akan dilaksanakan bagi penduduk di luar bandar mencapai imuniti kelompok seperti yang disasarkan akan dapat dicapai menjelang Disember tahun ini.
Tambah beliau, pada peringkat fasa pertama berkata, sebanyak 17 Trak Vaksin Bergerak yang memenuhi kriteria sebagai klinik bergerak akan ke kawasan sasar termasuk perkampungan Orang Asli di seluruh negara yang akan mempermudahkan proses vaksinasi di luar bandar.
Sementara itu, Abdul Latiff ketika ditemui media di Kampung Tanah Abang di Johor hari ini mengesahkan seramai 6,769 Orang Asli di seluruh negara telah menerima suntikan vaksin COVID-19 dos pertama dengan 1,599 daripadanya pula sudah lengkap mendapat dua suntikan sehingga 29 Jun lalu.
Menurut beliau, kementeriannya berharap supaya kesemua 144,180 masyarakat Orang Asli di seluruh negara yang layak divaksin dapat menerima suntikan dengan segera.
Katanya, ia bagi membantu kerajaan mencapai imuniti kelompok yang disasarkan melibatkan kira-kira 80 peratus rakyat Malaysia sebelum akhir tahun ini.
Menurutnya, kementerian juga akan mempergiatkan usaha memberi penerangan mengenai suntikan vaksin khususnya kepada masyarakat Orang Asli dalam mengekang penularan COVID-19.