3 JULAI: Kebakaran hutan di Kanada makin mengganas apabila hampir 90 peratus pekan Lytton, British Columbia musnah.
Kebakaran yang merebak ke kawasan penempatan itu berlaku susulan gelombang haba di Kanada dan beberapa bahagian di Amerika Syarikat (AS).
Datuk Bandar Lytton, Jan Polderman yang hampir maut apabila rumahnya hangus dijilat api berkata, semuanya musnah dalam sekelip mata.
“Api kelihatan di mana-mana sahaja, asap tebal menyelubungi semua kawasan sehinggakan anda tidak mampu melihat atau bernafas.
“Api merebak dengan pantas, penduduk hanya sempat mengambil kunci kereta dan melarikan diri tanpa peduli dengan keadaan rumah mereka yang musnah terbakar,” katanya.
Keadaan semakin buruk akibat angin kencang sehingga 71 kilometer sejam.
Sebanyak 62 kebakaran dilaporkan berlaku di British Columbia dalam tempoh 24 jam lalu.
Sebelum ini, kira-kira 1,000 penduduk di 100 kediaman dipindahkan di barat Kanada susulan kebakaran hutan yang merebak ke kawasan penempatan.
Pekan Lytton yang terletak kira-kira 250 kilometer ke timur laut Vancouver merekodkan suhu paling tinggi di seluruh Kanada dengan bacaan 49.6 darjah Celsius.
Menteri Pertahanan Kanada, Harjit Sajjan berkata, tempoh 24 jam yang lepas merupakan saat paling teruk untuk penduduk Lytton.
“Barisan pertahanan negara sudah bersedia untuk menghulurkan segala bantuan kepada penduduk ketika saat sukar ini,” ujarnya.
Setakat ini, pihak berkuasa tidak melaporkan sebarang kes kematian atau kecederaan melibatkan kebakaran tersebut.
Sejak Jumaat sehingga Rabu lalu, sebanyak 486 kematian direkodkan di seluruh British Columbia, berbanding 165 kematian dicatatkan dalam fenomena gelombang haba sebelum ini.
Ketua Koroner British Columbia, Lisa Lapointe memberitahu, kebanyakan yang maut disebabkan oleh strok haba dan tinggal berseorangan.