3 JULAI: Lima negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan Perlis yang memenuhi semua nilai ambang akan beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa mulai Isnin ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tindakan itu perlu selepas semua negeri berkenaan mencapai semua nilai ambang ditetapkan kerajaan untuk beralih ke fasa dua PPN termasuk jumlah liputan vaksinasi melebihi 10 peratus populasi penduduk di negeri berkenaan.
Ismail Sabri berkata dari segi jumlah penggunaan katil di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di negeri berkenaan juga semakin menurun daripada paras kritikal kepada tahap sederhana serta purata kes harian COVID-19 dalam tempoh tujuh hari bagi 100,000 orang penduduk.
Bagaimanapun beliau berkata keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian terperinci Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan mengambil kira pandangan pelbagai pihak serta mendengar keluhan rakyat.
“PPN ini memberi isyarat jelas apa yang dirancang dan apa dilaksanakan kerajaan, untuk membawa keluar negara dari kemelut pandemik COVID-19.
“Nilai ambang ini akan diperinci oleh Kementerian Kewangan mengikut indikator yang ditetapkan,” katanya pada sidang media bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz secara maya hari ini.
Kriteria utama untuk memasuki Fasa 2 adalah kes harian COVID-19 di bawah 4,000; kapasiti katil unit rawatan rapi (ICU) berada pada tahap “sederhana”; dan 10 peratus penduduk sudah diberi vaksin sepenuhnya.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata kerajaan juga akan membenarkan pergerakan rentas negeri dan daerah bagi pasangan jarak jauh dalam Fasa Kedua PPN tertakluk kepada kebenaran dan kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Ramai yang mahu mendengar mengenai pergerakan rentas negeri dan daerah oleh pasangan jarak jauh. Malah, saya sendiri ada menerima rayuan berhubung perkara ini.
“Sebagai contohnya, isteri bersalin, anak tidak sihat atau kes kecemasan lain dan sudah pasti setiap pergerakan ini memerlukan kebenaran polis.
“Dari segi pergerakan, daerah dan negeri masih dilarang kecuali kelonggaran diberikan kepada guru sekolah dan pelajar universiti yang perlu mengikuti kelas peperiksaan,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata antara sektor yang dibenarkan beroperasi dalam Fasa 2 adalah kedai buku dan alat tulis, telekomunikasi, kedai cuci kereta dan gunting rambut.
Beliau berkata kerajaan juga akan membenarkan pasar tani dan pasar pagi beroperasi dari jam 7 pagi hingga 11 pagi di Fasa 2, namun barang jualan hanya terhad kepada enam komoditi iaitu sayur, buah-buahan, barang runcit, ayam proses, makanan laut dan daging.
“Bagaimanapun, pasar minggu dan pasar tamu pula masih belum dibenarkan beroperasi di Fasa 2,” katanya.
Sementara itu, Zafrul berkata kerajaan akan terus memantau nilai ambang di setiap negeri sama ada boleh berpindah ke fasa seterusnya.
“Status nilai ambang di negeri ini yang telah pun mencapai tiga indicator, kita akan umum dari semasa ke semasa sama ada lima negeri yang sudah pun berada di Fasa 2 akan beralih ke Fasa 3 atau negeri-negeri yang masih dalam Fasa 1 boleh beralih ke Fasa 2,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan PPN yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 15 Jun lalu menghasilkan perkembangan positif di kebanyakan negeri terutama dari segi penurunan kes harian.
“Secara keseluruhan, penggunaan nilai ambang di peringkat negeri memberi garis panduan jelas kepada setiap negeri dalam menangani COVID-19 untuk beralih ke fasa seterusnya,” katanya.