5 JULAI: Seramai 47 terbunuh manakala 49 lagi cedera selepas sebuah pesawat tentera Filipina terhempas dan meletup akibat terlajak dari landasan semalam.
Ketua tentera Filipuna, Cirilito Sobejana berkata, tiga orang awam yang berada di darat turut terkorban dan empat lagi cedera.
Pesawat C-130 Hercules membawa kira-kira 85 penumpang itu dilaporkan hendak mendarat di Pulau Jolo, wilayah Sulu, tengah hari semalam sebelum terhempas dan meletup sebelum terputus dua.
Antara yang maut ialah 42 orang tentera dan tiga orang awam manakala 49 tentera dan empat orang awam lagi dilaporkan cedera. Selain itu, lima lagi anggota tentera masih hilang.
“Ini merupakan satu insiden penerbangan ketenteraan yang paling tragis di negara ini.
“Kami mengajak rakyat Filipina untuk sama-sama mendoakan mereka yang cedera dan maut dalam kejadian ini,” kata Komander Pasukan Petugas Bersama Sulu, Mejar Jeneral William Gonzales.
Dalam pada itu, Pasukan Petugas Bersama Sulu berkata, sejumlah askar dilihat melompat keluar dari pesawat sebelum jatuh ke tanah, menyelamatkan mereka daripada letupan yang disebabkan oleh nahas itu.
Sementara itu, Ketua Jeneral Angkatan Tentera Filipina, Cirilito Sobejana berkata, pesawat tersebut membawa anggota dari Cagayan de Oro di selatan pulau Mindanao sebelum dijadualkan mendarat di Jolo.
“Pesawat itu cuba untuk menghidupkan kembali kuasanya namun gagal,” ujarnya kepada media tempatan.
Pesawat tersebut dilaporkan membawa sebilangan besar kadet yang baru lulus daripada latihan ketenteraan asas di negara itu.