6 JULAI : Sebanyak enam lokaliti di Sabah dan Sarawak serta dua perkampungan Orang Asli di Kampung Kerpal dan Kampung Pinang di Rompin, Pahang akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Khamis ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hanya satu lokaliti di Sarawak yang akan dilaksanakan PKPD iaitu Kampung Mambong di Kuching.
Di Sabah pula, beliau berkata, lokaliti yang telah dikenal pasti adalah Kampung Sri Menanti, Tawau dan penambahan empat Kampung di Perkampungan Pulau Gaya, Kota Kinabalu iaitu Kampung Kasuapan, Kampung Lok Urai, Kampung Pulau Gaya dan Kampung Pondo.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa PKP dan atas nasihat KKM, semua lokaliti akan dilaksanakan PKPD mulai 8 Julai sehingga 21 Julai depan. PKPD ini dilaksanakan bagi memudahkan KKM melaksanakan pengesanan awal kes serta
“Ini juga bagi memastikan penduduk yang berisiko dijangkiti kekal berada di kawasan PKPD bagi mengelakkan penularan jangkitan keluar daripada lokaliti tersebut,” katanya menerusi kenyataan media perkembangan harian Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan PKPD, hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan kerajaan turut bersetuju untuk menamatkan empat lokaliti di Sabah seperti yang telah dijadualkan.
“Daripada jumlah itu, dua daripadanya akan kita buat di Kampung JKR Lama dan Kampung Pangi Hujung di Kunak manakala selebihnya adalah di Kampung Kebayau, Kota Belud; serta Kampung Likas di Kota Kinabalu.
“Semua lokaliti akan ditamatkan bermula tengah malam ini. Lokaliti ini ditamatkan berikutan berlaku penurunan kes dan kluster adalah terkawal manakala mereka yang disahkan positif telah pun menerima rawatan,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, sebanyak 27 premis meliputi kilang, premis perniagaan, tapak pembinaan dan asrama penempatan pekerja telah diarahkan tutup kerana didapati melanggar arahan kerajaan dan prosedur operasi standard (SOP).
Beliau memaklumkan, ia berikutan pemeriksaan daripada pasukan Task Force Operasi Pematuhan semalam, di mana sebanyak 2,798 kilang dan 17, 349 premis perniagaan, 727 tapak pembinaan dan 211 asrama penempatan telah diperiksa.
“Secara kumulatifnya, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melaksanakan 88, 163 pemeriksaan COVID-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota seramai 20,751 orang,” katanya.
Beliau menambah jumlah mereka yang ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3. 0 semalam menunjukkan penurunan kepada 548 berbanding 679 kelmarin.
Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Bera memaklumkan daripada keseluruhan tangkapan, seramai 539 individu dikompaun manakala sembilan orang lagi telah direman.
“Kesalahan tertinggi direkodkan semalam ialah mereka yang gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis sebanyak 91 kes dan tiada penjarakan fizikal sebanyak 81 kes.
Kesalahan lain yang turut dicatatkan adalah tiada penjarakan fizikal (81), tidak memakai pelitup muka (79), ridak mematuhi arahan kawalan pergerakan (54), membawa penumpang berlebihan (48) dan lain-lain kesalahan (195), “katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH