Pada hujung minggu lalu, saya bertembung dengan seorang jiran ketika membeli sarapan di kawasan kejiranan tempat tinggal kami.
Dalam pertemuan singkat itu, dia sempat meluahkan perasaan dan berkongsi kisah Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) untuk tiga orang anaknya.
Bagi memberikan kemudahan dan pendidikan terbaik untuk anak-anaknya, dia sanggup berkorban dengan membeli telefon untuk setiap seorang serta melanggan data tanpa had.
Bagaimanapun, pengorbanan itu memerlukan komitmen tinggi setiap bulan.
Menurutnya, bagi langganan data tanpa had dan panggilan tanpa had itu, dia perlu membelanjakan RM40 sebulan setiap seorang. Bermaknanya, jumlah keseluruhannya ialah RM120 sebulan tidak termasuk bil dirinya dan isteri. Pastinya, jumlah tersebut lebih tinggi.
Dia yang mengetahui saya melanggan perkhidmatan Wi-Fi di rumah bertanyakan pandangan saya kerana dia berhasrat untuk memasang perkhidmatan tersebut di rumah.
Ketika pelaksanaan PdPR ini, pengunaan data atau Wi-Fi di rumah amat penting. Situasi yang dialami jiran saya itu dihadapi kebanyakan ibu bapa di negara ini.
Tanpa data tanpa had atau talian Wi-Fi pendidikan untuk anak-anak terpaksa dikorbankan memandangkan itulah keperluan utama PdPR.
Selain itu, ibu bapa memerlukan telefon pintar atau komputer riba bagi kemudahan anak-anak mengikuti PdPR.
Masalah utama pastinya kos data yang tinggi menghantui ibu bapa setiap bulan terutama dalam keadaan kesempitan hidup rakyat yang sukar keluar mencari rezeki, dibuang kerja atau dipotong gaji.
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pegerakan Diperketatkan (PKPD) memburukkan lagi keadaan tersebut.
Sejak April tahun lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memperkenalkan pemberian data percuma 1GB secara harian bertujuan membantu rakyat menghadapi norma baharu digitalisasi dan ia sudah dilanjutkan beberapa kali dan tamat pada 31 Julai ini.
Tidak dinafikan ia membantu meringankan beban sesetengah ibu bapa, namun data 1GB itu hanya boleh bertahan beberapa hari. Justeru, ibu bapa terpaksa melanggan pakej data yang lebih tinggi.
Saya dapati untuk data tanpa had, kebanyakan pengendali telekomunikasi menawarkan pakej semurah RM35 sebulan termasuk panggilan tanpa had.
Bayangkan, jika satu keluarga mempunyai tiga orang anak, kos tambahan sebulan yang tunggang untuk PdPR ialah RM105.
Kepentingan interner pada hari ini terbukti apabila Telekom Malaysia Berhad merekodkan pertumbuhan kukuh Unifi iaitu dengan jumlah pendapatan meningkat 7.5 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding suku sama tahun lalu walaupun berdepan persekitaran mencabar dicetuskan pandemik COVID-19.
Justeru, saya mencadangkan kerajaan mempertimbangkan rebat kepada ibu bapa untuk melanggan data tanpa had ini atau Wi-Fi.
Penggunaan Wi-Fi di rumah untuk PdPR juga membuatkan talian menjadi lembab dan sekiranya pengendali telekomunikasi enggan memberikan potongan harga boleh dipertimbangkan untuk mempertingkatkan kelajuan internet pengguna sepanjang PdPR ini masih berlangsung tanpa menaikan bayaran bulanan.
Dalam kejadaan jumlah jangkitan COVID-19 yang masih tinggi ketika ini, PdPR mungkin dilanjutkan lagi.
Justeru, sebagai penghargaan dan galakan kepada ibu bapa, Kementerian Pendidikan juga boleh mempertimbangkan pemberian telefon dan rangkaian percuma dengan data tanpa had bagi seorang murid. – Oleh NASRI JAMALUDIN