9 JULAI: Jumlah kes baharu COVID-19 terus mencatatkan peningkatan apabila mencatatkan 9,180 kes berbanding 8,868 kes semalam, iaitu yang tertinggi pernah direkodkan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif 817,838 kes direkodkan setakat ini.
“Selangor kekal merekodkan kes tertinggi iaitu sebanyak 4,400 kes, diikuti Kuala Lumpur (1,271); Negeri Sembilan (899); Kedah (417); Sarawak (406); Sabah (323); Johor (315); Perak (241); Melaka (222); Pahang (214); Kelantan (151) dan Pulau Pinang (142).
“Selain itu, Terengganu mencatatkan 82 kes, diikuti Labuan (80); Putrajaya (16) dan Perlis satu kes,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini.
Terdahulu, Noor Hisham hari ini memaklumkan jumlah kes harian COVID-19 dijangka berlaku peningkatan susulan pelaksanaan saringan ke atas 10 peratus daripada penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Beliau berkata, semasa pelaksanaan PKPD, aktiviti kesihatan awam dapat dijalankan dengan lebih bertumpu terutama kumpulan berisiko tinggi di samping usaha pengesanan kontak rapat dan saringan kesihatan khususnya ke atas individu bergejala dilaksanakan dengan lebih giat bagi pengesanan awal kes COVID-19.
Dalam pada itu, menerusi kenyataan berbeza, Noor Hisham mengesahkan kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 pada jangkaan mengikut kes harian semalam yang mencatatkan nilai Rt 1.09 menyaksikan pandemik hampir kembali ke tahap negara mencatatkan kes tertinggi iaitu 9,020 kes pada 29 Mei lalu.
Beliau berkata, bersandarkan analisis Pembendungan Risiko, Pendedahan dan Jangkitan (SEIR), jumlah kes harian mampu mencecah ke angka itu susulan peningkatan nilai Rt ketika ini.
“Purata kebangsaan semalam menyaksikan peningkatan sebanyak 0.2 berbanding 1.07 yang dicatatkan kelmarin. Putrajaya mencatatkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.28 berbanding purata kebangsaan 1.09.
“Selain Putrajaya, kebanyakan negeri turut mencatatkan Rt melebihi purata kebangsaan. Perak mencatatkan nilai Rt 1.18, manakala Kuala Lumpur (1.16), Selangor (1.14) dan Pahang 1.10),” katanya.
Noor Hisham menambah, negeri yang melepasi Rt 1.0 pula ialah Kedah (1.08), Sabah dan Pulau Pinang masing-masing 1.07, Melaka (1.06), Terengganu (1.04) dan Negeri Sembilan (1.02).
“Empat negeri di bawah 1.0 ialah Labuan dan Sarawak masing-masing mencatatkan 0.86, Kelantan (0.90) serta Johor (0.96),” katanya.
Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan kes COVID-19, iaitu berapa ramai boleh dijangkiti oleh satu kes positif