Peningkatan kes harian Selangor kerana saringan secara aktif
10 JULAI : Aktiviti pengesanan dan ujian saringan secara aktif di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) memperlihatkan peningkatan kes harian COVID-19 di Selangor.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, sebanyak 25,005 saringan telah dijalankan pada 6 Julai berbanding 19,614 pada 5 Julai.
“Semalam (9 Julai), Selangor mencatatkan 4,400 kes dan 4,152 pada 8 Julai. Daripada data ini, kita akan melihat aktiviti pengesanan kontak dan ujian saringan yang lebih banyak di kawasan PKPD.
“Memang aktiviti kesihatan awam dan ujian saringan akan ditingkatkan apabila kawasan tersebut diisytiharkan PKPD,” jelasnya dalam sidang media khas berhubung langkah kesiapsiagaan dan strategi Kementerian Kesihatan (KKM) mengurus pandemik COVID-19 di Lembah Klang, di sini malam tadi.
Katanya, semasa ujian saringan, individu yang dikenal pasti positif akan diasingkan dan diberi rawatan mengikut kategori jangkitan, manakala bagi pesakit kategori empat dan lima, iaitu mempunyai gejala radang paru-paru, memerlukan bantuan pernafasan akan dihantar ke hospital untuk rawatan rapi.
“Aktiviti pengesanan ini perlu dijalankan untuk mengesan individu yang tidak bergejala supaya dapat diasingkan daripada komuniti serta mengelakkan penularan terus berlaku.
“Inkubasi virus adalah selama 14 hari tetapi varian baharu ini boleh sampai 21 hari. Jadi 14 hari itu kita akan melihat peningkatan ujian saringan dibuat untuk mengesan, mencari dan saring,” katanya.
Usaha membendung COVID-19 menurut Dr Adham bukan sahaja dilihat daripada kes harian, tetapi kadar vaksinasi kerana ia mampu mengurangkan kes kemasukan ke hospital dan kematian sekali gus dapat menyelamatkan lebih banyak nyawa.
KKM juga katanya akan membuat keputusan untuk melaksanakan proses vaksinasi di kawasan diisytiharkan PKPD di seluruh negara dan ia akan dilaksanakan selepas individu yang positif diasingkan daripada mereka yang tidak dijangkiti.
“Tempoh PKPD selama 14 hari, jadi dalam masa itu petugas akan buat saringan. Individu yang negatif akan diberi jadual untuk vaksinasi. Vaksinasi perlu diberi secepat mungkin selepas PKPD selesai.
“Individu terbabit mungkin akan divaksin di kawasan masing-masing atau di pusat yang berhampiran dengan lokaliti terlibat,”ujarnya.