11 JULAI: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menegaskan masjid di negeri itu tidak pernah ditutup dan bukan sesuatu yang mudah buat baginda menitahkan agar masjid mengehadkan kehadiran jemaah bagi menunaikan solat fardhu dan Jumaat.
Istana Shah Alam menerusi kenyataan memaklumkan keputusan itu diambil baginda setelah meneliti dan memantau dengan terperinci data serta statistik penularan wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan di Selangor.
“Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj memahami luahan hati rakyat dan rayuan umat Islam di media sosial serta menerusi surat, yang menggesa agar masjid-masjid di Negeri Selangor kembali berfungsi sepenuhnya seperti sediakala.
“Di sini, baginda menzahirkan rasa dukacita dan sedih serta kecewa kerana terpaksa memutuskan untuk terus mengehadkan fungsi masjid-masjid dan surau di seluruh Negeri Selangor ketika COVID-19.
“Baginda turut sedih dan dukacita apabila melihat peningkatan angka kematian akibat wabak COVID-19 di seluruh pelusuk Negeri Selangor,” kata Istana Shah Alam, hari ini.
Terdahulu, sehingga 9 Julai 2021, Selangor telah merekodkan sejumlah 1,933 kematian (28 kematian pada 9 Julai 2021 sahaja), dengan 4,400 kes jangkitan harian baharu.
Dalam pada itu, menerusi kenyataan sama, apa yang lebih membimbangkan baginda, pada akhir Jun 2021, data menunjukkan kematian di kalangan kaum Melayu di Selangor mencecah 855 orang, iaitu lebih daripada separuh daripada jumlah 1,571 kematian ketika itu.
“Beberapa minggu sebelum bulan Ramadan lalu misalnya, apabila kelonggaran diberikan untuk aktiviti ibadat dilakukan di masjid-masjid, kadar jangkitan terus merebak sehingga mewujudkan beberapa kluster baharu di masjid dan surau di negeri Selangor,” katanya.
Justeru, Sultan Sharafuddin melahirkan kekesalan kerana meskipun pelaksanaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dikawal dan diperketat di masjid-masjid, namun penularan wabak berbahaya ini terus mengganas.
“Istana Shah Alam memaklumkan baginda sendiri tidak sanggup lagi untuk melihat visual-visual memilukan yang memaparkan kesedihan waris keluarga kerana tidak berkesempatan menziarah di hospital dan menghantar jenazah ke tanah perkuburan.
“Disebabkan itu, sehingga hari ini, walaupun berat hati, baginda masih berpendirian bahawa aktiviti keagamaan di masjid dan surau mesti dihadkan khususnya solat berjemaah, demi keselamatan seluruh umat Islam di Selangor yang baginda kasihi,” katanya.
Dalam pada itu, Istana Shah Alam memaklumkan baginda menegaskan kesan daripada penularan wabak COVID-19 adalah berbeza bagi setiap negeri, justeru perbandingan tidak boleh dibuat secara kasar.
“Apatah lagi, Selangor sehingga kini masih lagi merupakan negeri dengan catatan kes baharu dan kematian tertinggi sejak beberapa bulan lalu,” katanya.
Bagaimanapun, Sultan Sharafuddin bertitah, sekiranya jumlah kes jangkitan baharu terus menurun dan jumlah peratusan pemberian vaksin berbanding jumlah populasi terus meningkat masjid dan surau akan dibuka kembali.
” Insya-Allah, masjid dan surau akan kembali dibuka seperti biasa. Sehingga itu terjadi, baginda mahu seluruh umat Islam di Selangor terus menunaikan solat dan beribadat di rumah serta tidak putus memanjatkan doa ke hadrat Allah S.W.T agar menghapuskan wabak berbahaya ini.
“Di kesempatan ini, Baginda ingin menasihatkan umat Islam agar kekal tabah dan bersabar kerana wabak ini adalah satu ujian dan dugaan supaya kita sentiasa mengingati kebesaran Allah SWT,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH