15 JULAI : Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara Malaysia dan Turki menjanjikan perkembangan yang lebih kukuh hubungan perdagangan dua hala di antara dua negara tersebut.
MITI menerusi satu kenyataan semalam berkata, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menekankan betapa pentingnya usaha mempertingkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan sedia ada di antara Malaysia dengan Turki, termasuk menerusi Malaysia-Turki FTA (MTFTA).
Menurut kenyataan itu, Presiden Turki berkata potensi penuh jumlah perdagangan di antara Malaysia dengan Turki masih belum direalisasikan.
Erdogan turut mengatakan perlunya kedua-dua negara bekerjasama rapat untuk melonjakkan jumlah dagangan sedia ada.
Sementara itu, Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menekankan komitmen Malaysia untuk membolehkan import dari Turki mengakses pasaran Malaysia.
Mohamed Azmin menjelaskan, dalam mengukuhkan mandat berkaitan perdagangan, pemeteraian Deklarasi Bersama mengenai Perluasan MTFTA, menandakan komitmen untuk terus menerajui liberalisasi progresif apabila bentuk dasar perlindungan baharu dilaksanakan.
Malaysia dan Turki menandatangani deklarasi berkenaan pada Selasa untuk memperkukuh mandat dalam meneruskan perluasan perjanjian berkenaan yang merangkumi aspek perkhidmatan, pelaburan dan e-dagang.
Dalam aspek pertahanan pula, kedua-dua pihak pada bersetuju meningkatkan inisiatif kerjasama bagi manfaat bersama yang akan mendorong kemajuan teknologi di Malaysia dan Turki.
Selain itu, kedua-dua pihak bersetuju pengaturan perdagangan utama seperti perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) boleh berfungsi sebagai alat pelengkap untuk syarikat Turki melabur dan beroperasi di Malaysia.
Kedua-dua negara juga akan memperoleh manfaat daripada keutamaan yang diberikan dalam perjanjian itu apabila mengeksport ke ASEAN, Jepun, Korea, China, Australia dan New Zealand.
MITI menjelaskan, Malaysia dan Turki juga sepakat mengadakan mesyuarat khusus dalam tempoh terdekat antara pegawai berkaitan bagi membincangkan secara lebih teliti mengenai perjanjian timbal balik mata wang dua hala.
Presiden Erdogan menurut kenyataan itu lagi menyampaikan solidariti Turki bersama-sama dengan Malaysia dalam usaha mengekang pandemik COVID-19.
“Beliau turut menunjukkan hasrat untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi mencapai pengaturan pengiktirafan bersama ke atas vaksin,” kata kementerian itu.