16 JULAI : Sebanyak 19 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama AWAM-SWASTA (PIKAS) telah beroperasi setakat 14 Julai lalu manakala bakinya dijangka akan beroperasi tidak lama lagi.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, setakat 9 Julai 2021, jumlah PPV yang melibatkan PIKAS adalah sebanyak 37 PPV di Tapak Premis manakala 24 PPV Penggunaan Umum.
“Salah satunya adalah Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) yang telah dipilih sebagai tempat untuk menjalankan usaha sama menerusi PIKAS.
“Menyokong usaha kerajaan agar Malaysia segera mencapai imuniti kelompok dan mampu mengawal penularan wabak COVID-19, PPV MITEC PIKAS hadir dengan hampir 30 orang doktor perubatan, jururawat, sukarelawan dan dijangka jumlah ini akan meningkat bagi memudahkan proses vaksinasi.
“Jumlah penerima suntikan vaksin di PPV MITEC PIKAS juga akan ditingkatkan bermula minggu kedua dan seterusnya bagi mempercepatkan vaksinasi pekerja,” ujarnya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasminya.
Beliau berharap agar PPV PIKAS yang telah dibangunkan ini mampu menjadi penggerak kepada pemulihan ekonomi Malaysia dan dalam masa yang sama berjaya melindungi kesihatan para pekerja sektor pembuatan.