17 JULAI: Tindakan kerajaan meletakkan Lembaga Tabung Haji (TH) di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM) dianggap tidak wajar dan memberi kesan yang berbahaya kepada institusi lembaga itu.
Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA), Aminuddin Yahaya berkata, biarpun cadangan itu nampak baik namun jika dikaji secara teliti ianya membawa implikasi yang sangat besar kepada masa depan TH dan ekonomi umat Islam khususnya orang Melayu.
Justeru, pihaknya merayu kepada kerajaan untuk menolak cadangan tersebut jika benar-benar mementingkan nasib bangsa Melayu dan umat Islam.
“Kepada menteri agama, saya merayu agar mempertahankan institusi ini supaya kekal di bawah menteri agama, jika tidak saya bimbang sejarah akan melabelkan menteri agama sebagai seorang yang gagal mempertahankan institusi penting ekonomi umat Islam ini, suatu hari nanti.
“Saya memang menyokong langkah untuk melaksanakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap TH sepertimana yang diumumkan oleh kerajaan, tetapi langkah meletakkan institusi ini di bawah Kementerian Kewangan adalah sesuatu yang tidak patut dan berbahaya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Kementerian Kewangan memaklumkan mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju untuk menambah baik pengurusan dan operasi TH secara menyeluruh yang antara lain membabitkan cadangan dasar model baharu operasi TH dan semakan pindaan Akta Tabung Haji 1995.
Menurut beliau, cadangan model baharu operasi TH itu akan diteliti secara bersama oleh Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, BNM dan TH.
Selain itu, katanya, Jemaah Menteri juga bersetuju dengan penyenaraian TH sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang ditetapkan di bawah seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan dikawal selia oleh BNM.
Dalam pada itu, Aminuddin memaklumkan pemberian tinggi hibah kepada pendeposit TH mungkin tidak dapat dilaksanakan kemungkinan sekatan akan berlaku oleh Bank Negara kerana TH akan tertakluk di bawah Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.
Menurut beliau, TH ditubuhkan bagi memberi kemudahan kepada umat Islam dan pentadbirannya juga di bawah seliaan umat Islam namun jika ia diletakkan di bawah BNM, maka institusi kewangan umat Islam di negara ini akan terjejas.
“BNM adalah di bawah bidang kuasa Menteri Kewangan; bagaimana jika suatu hari nanti naik pula Menteri Kewangan yang bukan beragama Islam seperti yang pernah berlaku sebelum ini.
“Apakah selepas ini TH masih bebas untuk membuat pelaburan di dalam sektor hartanah, pertanian, perumahan dan sebagainya demi memperkukuhkan ekonomi umat Islam atau apakah akan disekat oleh BNM kerana pelbagai regulasi bank?
“TH adalah milik orang Islam dan untuk menjaga kepentingan ekonomi umat Islam namun jika meletakkan bawah BNM, perkara ini adakah akan terjamin? Justeru, perkara ini perlu diteliti dengan terperinci oleh Kerajaan,” katanya.