17 JULAI: Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor bersedia membayar kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan tidak memakai pelitup muka ketika hadir di sebuah pusat pameran kenderaan di Pulau Pinang, awal bulan lalu
Bagaimanapun, beliau memaklumkan, sehingga kini belum menerima sebarang notis untuk berbuat demikian daripada pihak polis.
“Setakat ini, daya belum terima notis untuk membayar kompaun seperti yang diperkatakan.
“Saya masih menunggu dan lepas saya terima notis tersebut, saya akan pergi membayarnya,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) Integrasi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), Kedah, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media, melaporkan polis sudah menerima arahan untuk mengeluarkan kompaun kepada Muhammad Sanusi dalam tempoh terdekat.
Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan Muhammad Sanusi akan dikompaun kerana gagal mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berhubung dakwaan memandu uji kenderaan di Auto City Juru, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, jumlahnya tidak didedahkan seperti kelaziman dalam kes berprofil tinggi.
Menurut beliau, kes ini juga adalah terpulang kepada seseorang pesalah sama ada mahu menerimanya atau mempertikaikan kompaun itu di mahkamah.