21 JULAI: Kementerian Kesihatan Arab Saudi mengesahkan tidak ada jangkitan COVID-19 mahupun penyakit lain yang menjangkiti kalangan jemaah yang menunaikan ibadah haji tahun ini.
Ini susulan jemaah haji yang mengambil bahagian dalam mengerjakan ibadah haji tahun ini berjaya mematuhi langkah-langkah kesihatan yang meluas di semua tempat suci.
Perkara itu disahkan oleh Kementerian Kesihatan, Dr Mohammed Al-Abd Al-Aly ketika sidang media bersama Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Haji dan Umrah, semalam.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Letnan Kolonel Talal Al-Shalhoub berkata, lebih ramai anggota polis hadir untuk mengawasi langkah-langkah kesihatan COVID-19.
Bagaimanapun katanya, 356 pelanggar ketika mengerjakan haji dilaporkan dengan sebilangan besar cuba untuk ke tempat suci tertentu di Muzdalifah, Gunung Arafat dan Masjidilharam.
“Saya ingin menegaskan pentingnya melaksanakan langkah keselamatan haji dan menghindari pelanggaran,” katanya menerusi laporan media antarabangsa, Al Jazeera.
Terdahulu, Arab Saudi mengesahkan 14 kematian berkaitan COVID-19 baharu semalam, meningkatkan jumlah kematian kepada 8,075.
Kementerian Kesihatan mengesahkan 1,273 kes baharu yang dilaporkan di negara itu dalam tempoh 24 jam lepas.
Secara keseluruhan hingga kini, 512,142 orang dijangkiti penyakit itu.