21 JULAI: Kerajaan Persekutuan perlu mempertimbangkan pemberian vaksin secara ‘walk in’ di Sabah berikutan kaedah pendaftaran menerusi aplikasi MySejahtera kurang berkesan.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata langkah berkenaan perlu berikutan ramai penduduk Sabah terutama di luar bandar sukar mendaftarkan diri menerusi aplikasi MySejahtera kerana tidak mempunyai akses internet.
“Saya menyarankan kepada pihak berkaitan supaya melaksanakan inisiatif lain bagi menggalakkan lagi pendaftaran vaksin di negeri ini memandangkan kaedah menerusi MySejahtera tidak cukup berkesan.
“Pendekatan ‘walk-in’ wajar dipertimbang kepada rakyat Sabah yang belum lagi menerima janji temu khususnya di kawasan luar bandar memandangkan sebahagian mereka tidak mempunyai akses kepada kemudahan internet.
“Ini bagi memastikan Sabah dapat mencapai sasaran imuniti kelompok dalam tempoh yang disasarkan,” katanya kepada pemberita di Sabah hari ini.
Pada masa sama, Bung Moktar juga meminta Kerajaan Persekutuan khususnya Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) supaya mempercepatkan penghantaran vaksin ke Sabah.
Katanya, data JKJAV menunjukkan penerima vaksin bagi dos pertama dan kedua di negeri itu amat rendah berbanding negeri lain dan perkara itu amat membimbangkan dengan peningkatan kes positif COVID-19 sejak beberapa minggu lalu.
Beliau berkata, pelbagai pendekatan telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri seperti pembukaan lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) serta program “outreach” namun sasaran vaksinasi sukar dicapai jika bekalan vaksin tidak mencukupi.
“Perkara ini tidak boleh dilengahkan kerana kita berdepan dengan ancaman virus COVID-19 yang lebih berbahaya ekoran penemuan varian baharu yang lebih mudah menular,” katanya.
ReplyForward |