21 JULAI : Kes jangkitan baharu COVID-19 mencatatkan penurunan di paras 11,000 apabila merekodkan 11,985 kes setakat tengahari tadi berbanding semalam iaitu 12,366 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan penambahan jumlah itu menjadikan kumulatif keseluruhan kes direkodkan sebanyak 951,884.
Menurut beliau, Selangor masih kekal penyumbang tertinggi kes jangkitan harian COVID-19 dengan 5,550 kes hari ini yang merekodkan peningkatan kes berbanding semalam iaitu 5,524 kes.
“Walaupun kes baharu jangkitan COVID-19 mencatatkan penurunan namun tujuh negeri mencatatkan penurunan iaitu
Kuala Lumpur (1,580), Negeri Sembilan (970), Johor (793), Sabah (657), Pulau Pinang (460), Sarawak (351) dan Terengganu (190).
“Manakala Negeri Kedah (701), Melaka (309), Pahang (288), Kelantan (179), Putrajaya (50), dan Labuan (17) mencatatkan penurunan kes manakala Perlis masih kekal merekodkan dua kes,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini.
Sementara itu, menerusi hantaran berbeza, Noor Hisham memaklumkan Terengganu merekodkan kadar kebolehjangkitan (RT) Covid-19 tertinggi iaitu 1.31 melebihi nilai RT negara, 1.12, semalam.
Beliau berkata, negeri tersebut juga mencatatkan 190 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif 12,987.
“Selain Terengganu, tiga lagi negeri yang turut merekodkan nilai RT tertinggi adalah Sabah (1.25), Kedah (1.23), Pulau Pinang (1.22) dan Johor (1.20).
“Putrajaya (1.19), Selangor (1.5), Negeri Sembilan (1.14), Perak (1.13), Melaka (1.12), Kelantan (1.10) dan Kuala Lumpur (1.08),” katanya.
Dalam pada itu, Nooe Hisham memberitahu, dua negeri yang merekodkan nilai RT di bawah 1 adalah Sarawak (0.95) dan Labuan (0.75).
“Berdasarkan Model SEIR Unjuran dan Pemerhatian Kes Harian Covid-19, nilai RT negara akan meningkat kepada 1.2 dengan kes harian baharu mencapai 13,000 jika berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP),” katanya.
Nilai RT adalah merujuk kepada kebolehjangkitan sesuatu virus iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif, semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH