22 JULAI: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta semua pihak diminta tidak berputus asa untuk terus berikhtiar dalam mencari penyelesaian bagi menamatkan penularan wabak COVID-19
Muhyiddin berkata, wabak itu adalah satu ujian daripada Tuhan, sementara dalam Islam juga dianjurkan untuk terus bersabar, reda dan berikhtiar bagi memulihkan keadaan kepada sedia kala.
“Sebagai manusia biasa, kita berusaha mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan memastikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang rancak berjalan di seluruh negara dapat menjadi ikhtiar dalam melindungi rakyat daripada ancaman wabak ketika ini.
“Kesungguhan ditunjukkan petugas barisan hadapan, dibantu pelbagai pihak sama ada penjawat awam, badan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta, pasukan keselamatan dan orang perseorangan dalam menyalurkan segala bentuk bantuan kepada mereka yang memerlukan, bukti perpaduan yang utuh meskipun dalam keadaan sukar ini.
“Saya doakan semangat kerjasama dan perpaduan ini dapat dikekalkan,” katanya ketika hadir Program Malaysia Berzikir Bersama Perdana Menteri menerusi slot Forum Perdana Ehwal Islam yang disiarkan secara langsung di TV1 malam ini.
Yang turut hadir dalam program berlangsung secara maya itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Timbalannya, Datuk Ahmad Marzuk Shaary serta Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Tujuan utama program berkenaan dianjurkan adalah bagi memohon pertolongan daripada Allah SWT supaya rakyat Malaysia diberikan keselamatan, kerahmatan, keampunan dan perlindungan daripada ancaman wabak COVID-19.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, dalam Islam amalan berzikir sangat dituntut bukan saja untuk mengukuhkan aspek kerohanian, tetapi seiring dengan sikap bertawakal kepada-Nya, selepas semua pihak melalui pelbagai ikhtiar dalam mendepani ujian ini.
“Saya doakan dengan majlis ini Allah SWT mengurniakan ketenangan dalam kehidupan seharian dan supaya kita dapat bersama keluar dalam krisis ini dengan segera serta dapat kembali menjalani kehidupan dengan lebih baik,” katanya.