23 JULAI: Mahkamah Majistret Putrajaya mengeluarkan perintah tahanan reman selama enam hari terhadap tiga individu termasuk dua bekas Yang Dipertua (YDP) majlis perbandaran di Selangor kerana disyaki menerima rasuah daripada kontraktor projek dan pemaju perumahan di kawasan masing-masing.
Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman sehingga Rabu ini selepas mendengar permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Putrajaya, hari ini.
Menurut Sumber, kedua-dua bekas YDP yang berusia 47 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM ketika hadir memberikan keterangan semalam.
Beliau berkata, selain itu turut ditahan ialah seorang kontraktor yang terbabit memberi rasuah bagi membolot projek ditawarkan di dua majlis perbandaran diketuai dua YDP terbabit.
“YDP berkenaan kini memegang jawatan pegawai daerah (DO), manakala kontraktor berusia 42 tahun itu sebelum ini dipercayai mengawal 16 syarikat didaftarkan atas nama saudara dan pekerjanya bagi mendapatkan projek di dua majlis perbandaran berkenaan yang dianggarkan mencecah jutaan ringgit sejak empat tahun lalu.
“Bagi setiap projek diperoleh, kedua-dua bekas YDP itu akan menerima habuan lima peratus daripada nilai projek. Dua bekas YDP ini juga menerima pelbagai bentuk suapan termasuk sebuah rumah bernilai RM1 juta, wang tunai RM500,000 dan pakej pelancongan ke Eropah bagi meluluskan kebenaran merancang dan pembangunan milik sebuah syarikat pemaju perumahan,” katanya.
Berikutan itu, sumber berkata, pihak SPRM sudah membuat beberapa siri serbuan di sekitar Selangor sejak kelmarin.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai suapan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, mengesahkan tangkapan berkenaan tetapi enggan mengulas lanjut.